Tuesday, September 20, 2011

~Artikel Syawal 22 : Bahaya Fitnah~


Fitnah adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti.
Rasulullah S.A.W bersabda : Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (Riwayat Muslim)
Islam melarang keras tindakan menabur fitnah dan menyebar khabar angin, malah mereka yang berbuat demikian dijanjikan dengan balasan yang buruk.  "Sesungguhnya orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui." (An-Nur:19)

Ayat itu diturunkan rentetan daripada peristiwa yang menimpa Rasulullah S.A.W  apabila isterinya, Aisyah dituduh melakukan hubungan tidak baik dengan seorang sahabat bernama Safwan. Berita palsu ini berlaku selepas peperangan Bani al-Mustaliq yang turut disertai golongan munafik. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, tentera Islam singgah di satu tempat manakala Saidatina Aisyah keluar daripada kenderaannya untuk qada hajat dan kalungnya terjatuh, lalu beliau kembali ke tempat terbabit untuk mencari kalung itu. Pada masa yang sama, tentera Islam berangkat meneruskan perjalanan ke Madinah. Pada sangkaan mereka, Aisyah berada di kenderaan tunggangannya. Selepas Aisyah menjumpai kalung itu, beliau terus ke tempat persinggahan tentera Islam tetapi terkejut apabila mendapati tiada lagi sesiapa di sana. Beliau terlelap kerana penat dan dikejutkan dengan laungan seorang sahabat bernama Safwan bin Ma'tal yang kebetulan tercicir daripada kumpulan tentera Islam. Safwan yang mengetahui Aisyah isteri Rasulullah segera mengucapkan 'inna lillahi wa ilahi rajiun' dan merendahkan tunggangannya untuk dinaiki Aisyah.
Sepanjang perjalanan, mereka tidak bercakap walau sepatah perkataan pun sehingga mereka sampai ke Nahr al-Zahirah yang secara kebetulan tentera Islam berhenti di tempat yang sama.   Apabila dilihat tentera Islam yang ada di kalangan mereka itu orang munafik, mereka mula menyebarkan cerita berunsur fitnah, kononnya Aisyah melakukan hubungan sulit dengan Safwan. Cerita fitnah ini berlanjutan sehinggalah tentera Islam selamat sampai ke Madinah. Rasulullah mengambil sikap mendiamkan diri sehingga wahyu turun bagi menjelaskan perkara sebenar. Sebulan lamanya wahyu tidak turun dan dalam tempoh itu juga Aisyah ditimpa demam. Sehingga pada satu hari, turunnya ayat 11-20 surah an-Nur menjelaskan mengenai kesucian Aisyah dan pembuktian dia tidak bersalah.
Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat? Firman Allah S.W.T yang bermaksud: ...dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh...(al-Baqarah: 191).
Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, di dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza. Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.
Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firmanNya: ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?...(al-Hujurat: 12)
Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan sikap berhati-hati apabila menerima berita daripada orang yang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya.
Setiap Muslim tidak boleh menerima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.
Angkara fitnah ini amat buruk kesannya kepada masyarakat. Apabila masyarakat terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dan persaudaraan dalam Islam. Dari segi agama, mangsa yang difitnah hendaklah bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Tindakan yang terbaik ialah memberi penjelasan berkaitan perkara yang telah menimbulkan prasangka masyarakat terhadap dirinya. Ini adalah sifat Muslim yang ideal yang dapat menahan emosi, nafsu juga akalnya dari melakukan perkara-perkara yang melampau dan ditegah agama. Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda S.A.W sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh. Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah, ...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216).

3 comments:

Anum said...

thanks sis...
suka baca blog sis, selalu ada ilmu pengetahuan yang sis share

eima said...

TQ ... ingat menginagti

puanstoberi said...

ANUM :
Insyaallah...sesama la kita share apa2 yg baik :))


EIMA :
Welkam. Sesama kita ingat mengingati kan :))