Sunday, August 28, 2011

~Artikel Ramadhan 28 : Adab Bermusafir~

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru rakyat Malaysia yang beragama Islam sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya mematuhi adab bermusafir dalam Islam sewaktu pulang ke kampung dan kembali dari bercuti.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, dalam situasi menyambut perayaan dan kemerdekaan ini, umat Islam seharusnya mematuhi adab bermusafir dalam Islam.

Katanya, antara adab bermusafir ialah memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat, rehat secukupnya, membawa kenderaan mengikut had laju yang dibenarkan, mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta sabar ketika memandu kenderaan.

"Sesungguhnya sikap pemandu yang boleh membahayakan nyawa dan memberi kemudaratan kepada orang lain seperti memotong barisan berkembar, menggunakan laluan kecemasan, tidak menghiraukan kenderaan yang lebih kecil seperti motosikal dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya adalah satu dosa kerana mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan di jalan raya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya setiap pemandu perlu mematuhi adab ini supaya semua lapisan masyarakat dapat bersama berhari raya dengan selamat, penuh kesyukuran dan kegembiraan di sisi ahli keluarga tersayang.

Othman berkata, ketika bermusafir, umat Islam juga diharuskan untuk melaksanakan solat Jamak dan Qasar sekiranya perjalanan melebihi dua marhalah (89 kilometer).
Katanya, masyarakat juga digalakkan supaya berhemah dan bertimbang rasa kepada pemandu lain supaya semua dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.
"Antara adab bermusafir dalam Islam juga ialah apabila sampai ke destinasi, ucapkan syukur alhamdulillah dan kerjakan sujud syukur.

"Sebaik pulang dari kampung selepas berhari raya juga, disunatkan mengerjakan solat sunat qudum (ketibaan) di masjid atau surau yang berdekatan," katanya. - BERNAMA

sumber :berita harian

No comments: