Thursday, August 4, 2011

~Artikel Ramadhan 4 : Keberkatan Rezeki~

Rezeki yang membawa berkat insya-Allah akan sentiasa memberikan kecukupan, kesempurnaan, kedamaian, ketenangan, keselesaan dan kebahagiaan kepada mereka yang memperolehinya. Mereka akan kelihatan tenang, tabah dan sabar. Berkat bukan sahaja dinikmati secara perseorangan tetapi juga akan berkembang kepada ahli keluarga, anggota masyarakat dan negara.

Manakala orang yang sedang memperoleh berkat biasanya akan menjadi insan pemurah dan penyayang   yang akan  menyampaikan pula apa jua rezeki yang dikecapinya  kepada orang lain melalui pemberian, sumbangan, sedekah, derma atau pertolongan. Sebenarnya tidak semua orang akan diberikan keberkatan oleh Allah SWT. Namun semua orang Islam berpeluang untuk mendapatkannya dengan syarat mereka sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah SWT. di samping  kuat pula berusaha mematuhi dan menuruti syariat Allah SWT.

Berkat yang diterima oleh setiap manusia muslim tidak pernah sama walaupun kelihatan serupa.  Allah SWT. mengurniakan sesuatu pemberian-Nya berbeza antara satu dengan yang lain. Kepelbagaian  bentuk kurniaan oleh Allah  SWT.  yang dapat diketahui antaranya ialah;  diberikan apa-apa jenis harta benda,  kejayaan dan  pencapaian di bidang pelajaran serta pengetahuan, ketajaman  pemikiran,  memiliki daya analisa yang luas, mampu menghasilkan tulisan atau karya yang boleh membina kemajuan  umat,  boleh merekacipta atau membuat inovasi baru untuk kemudahan  umat, kesihatan yang berpanjangan, boleh melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat yang berterusan, rumahtangga yang damai, anak-anak yang soleh  dan berbagai lagi.

Sebab itu setiap manusia dijadikan Allah SWT. mempunyai kebolehan yang berbeza-beza. Masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan mengikut bidang, kepakaran serta ilmu yang dikuasai. Manakala anggota masyarakat pula mesti meraikan kepelbagaian upaya yang dimiliki oleh setiap manusia. Dengan semangat sentiasa ingin bekerjasama, saling menghormati, berbaik sangka, tidak mengadu-domba,  tidak mencipta dan menyebar fitnah, tidak mencerca, tidak mengaibkan manusia, sentiasa menjaga adab dan akhlak  ketika bergaul serta prihatin, insya-Allah, kita akan sentiasa mendapat rahmat, pertolongan dan keberkatan dari Allah SWT.

Maka setiap muslim hendaklah meyakini ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.  Kita boleh membanding-bandingkan tetapi jangan mempertikai kenapa Allah membezakan kurniaan-Nya. Yang penting kita hendaklah sentiasa bersikap redha terhadap apa yang Allah SWT. berikan. Malah lebih dari itu kita hendaklah mensyukuri apa sahaja kurniaan  Allah SWT.  Itulah sifat mulia setiap hamba yang menyedari asal-usul kejadian-Nya yang menuntut ia sentiasa mentaati takdir dan suratan yang telah ditentukan oleh  Allah SWT.

Sepatutnya kita hendaklah sentiasa berpada, qana'ah dan bertawakkal dengan apa yang  telah dikurniakan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang pergi di pagi hari dalam keadaan perut yang kosong dan kembali dalam keadaan perut yang penuh berisi ''.

Petikan Khutbah Jumaat
dari web JAIS

5 comments:

Teratak Hami said...

Alhamdulillah, pepagi dah ada tazkirah untuk dibaca.

Anum said...

thanks for the info sis

D_08 said...

same2 le kite berkongsi pahale......Insyallah

ZaNa aDieyZa said...

tazkirah yg baik utk dikongsi bersama..

eKa said...

kekda...thanx for sharing...usaha...tawakal...