Monday, July 23, 2012

Ihya Ramadhan 3 : Bekerja Kerana Allah

FIRMAN Allah SWT: “Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada- Ku, Aku tidak sekali-kali mengkehendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku.
“Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk- Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya.” (Surah Adz Dzaariyaat, 56-58) 
Sesungguhnya, Allah SWT mencipta manusia semata-mata untuk beribadah kepada-Nya dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Jika dilihat, ibadat yang diinginkan oleh Allah SWT ini adalah meluas dan bukan khusus kepada sesuatu ibadat saja seperti solat, puasa, memberi zakat dan haji.
Sebaliknya ia merangkumi segala bidang dalam aspek kehidupan termasuklah bidang pelajaran, ekonomi, politik dan lain-lain lagi, dengan syarat semua itu didasarkan di atas landasan iman dan taqwa kepada Allah.

Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh bagi meningkatkan kesejahteraan kualiti diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Islam melarang dan memandang rendah orang yang malas bekerja dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain.
Islam menggalakkan umatnya berusaha dan bekerja serta melarang umatnya daripada meminta-minta dengan mengharap bantuan orang lain.

Orang yang malas bekerja hanya akan menjadi beban kepada orang lain. Sesungguhnya siapa yang berusaha untuk mencukupi keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang, maka itu adalah sebahagian jihad fisabilillah.
Dalam kita bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal, kita hendaklah berazam untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sebaik-baiknya.

Kita jangan hanya jadi pak sanggup dengan sanggup menerima dan memegang apa juga tugas yang diamanahkan tetapi tidak sanggup menjalankannya. Perlu diingat bahawa penerimaan dan kesanggupan menerima tugas atau jawatan itu adalah akad atau perjanjian yang wajib dilaksanakan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan menilai kerja-kerja yang kita lakukan selama ini.

Adakah kerja-kerja yang kita lakukan itu menepati kehendak ajaran Islam dan dikira sebagai amal ibadah serta amal soleh di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya amat malang dan rugi sekali sekiranya apa yang kita lakukan selama ini tidak mendapat apa-apa balasan daripada Allah SWT kerana kerja adalah ibadat yang dituntut dalam Islam bagi keperluan terhadap keluarga dan agama.

Ketahuilah bahawa Allah melihat apa yang hamba- Nya kerjakan dan setiap niat di sebaliknya. Oleh itu, bekerjalah dengan ikhlas kerana Allah.

Marilah kita berusaha dan beriltizam untuk bekerja dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dituntut oleh agama kita.

Tugas atau kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan jangan disalahgunakan.

Apabila seseorang itu memegang jawatan tinggi dalam syarikat atau sebagai pemerintah, ingatlah ia bukan satu keistimewaan yang boleh dibuat sesuka hati kerana setiap tanggungjawab itu adalah amanah yang akan dipersoalkan di akhirat.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita menjadi pekerja yang jujur dan amanah serta dimurahkan rezeki selain dijauhkan dari sifat tamak dan suka meminta-minta.

Semoga rezeki yang kita peroleh mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Kredit : Metro

2 comments:

Admin said...

tq kak sharing bende ni kita ni selalu nya terlupa bende2 mcm gini

Puan Awin said...

sharing is caring ;)