Tahu maksud hati walang?
Dari Pusat Rujukan DBP antara maksud hati walang adalah bersedih, hiba, dukacita, gelisah, suram, rawan dan semua yang semaksud dengan kesedihan.
Kami berhati walang.
Lama aku berniat nak tuliskan entry sebegini. Dalam fikiran, entry begini patut diletakkan dalam 'rumah' khas itu tapi kali ni aku rasa seharusnya aku kongsi dan luahkan di sini. Sebaiknya perasaan walang ini sesekali dikongsi bersama.
Kami berhati walang.
Kami tahu kami kuat utk hadapi semua ini, kerana itu lah kami di pilih. We're the chosen one. Walau berhati walang, tapi kami lah yg dipilih untuk menghadapinya oleh Allah. Kami redha kerana Allah menguji sesuai dengan kemampuan hambaNya. Ini juga anugerah. Bukan semua dapat merasai dugaan ini. Bukan semua mampu menangkis persoalan 'bila nak dapat anak?' 'bila nak mengandung?' 'bila nak ada baby'. Seawal sebulan dua usia perkahwinan lagi soalan itu ditanya. Diteruskan hinggalah usia perkahwinan menginjak ke satu tahun. Satu usia yg pada orang lain sepatutnya sudah mula mengendong bayi sendiri. Tapi tidak pada kami. Kami yang berhati walang. Dimana saja soalan itu ditanya. Ketika sama-sama memilih lauk di cafe, disinggung bahu - soalan itu lah ditanya. Ketika dalam lif untuk naik ke tingkat masing-masing, masih sempat bertanya. Di depan cermin di dalam tandas. Dimana saja ada peluang. Apa jawapan utk bila? bila? bila? Kami yang berhati walang sememangnya tiada jawapan pada persoalan bila itu. Apa mampu kami jawab? Ada kalanya kami hanya tersenyum sumbing. Adakala kami melontarkan sedikit kata-kata sinis bilamana tak tertahan lagi. Tapi, jauh di sudut hati, sememangnya walang dengan soalan itu. Jadi, tidak semua berpeluang untuk menjadi tempat yang ditujukan soalan itu. Hanya kami, yang berhati walang, tapi semangatnya kuat. Allah berikan dugaan pada kami.
Kami berhati walang.
Allah itu Maha Mengetahui. Ketika menemankan emak di hospital 2 bulan lepas, berkenalan dengan seorang yg duduk di sebelah katil mak. Kelihatan dia agak sihat. Menurutnya, dia pregnant dan bleeding. Masuk hospital utk diberi pengawasan. Apa yang memeranjatkan ini adalah kali ke4 dia mengandung, dan anak hanya ada seorang. Maksudnya. 4kali pregnant dengan 2kali keguguran, hanya satu yang berjaya dilahirkan dan kandungan keempat ini pun perlu berjaga jaga. Di tahan di wad, sentiasa 'diseluk' oleh doktor. Aku terdiam seketika. Ujian nya lebih berat dari aku. Kalo jadi pada aku entah lah. Menahan sakit itu satu, menahan kekecewaan keguguran? Sebab itu lah Allah turunkan ujian sesuai dengan kemampuan kita.
Kami berhati walang.
Terkadang kami rasa semangat kami hilang bila melihat seorang demi seorang rakan yang turut sama naik pelamin telah mula menambah anak. Yang kawen setahun selepas pun anak dah pandai membaca ABC. Bukan itu saja, yang kawen selepas empat tahun kami berkahwin pun sedang menunggu hari menyambut kelahiran bayi. Apatah lagi, yang seangkatan sama sebaya semuanya telah update status 'tak sangka anak dah masuk darjah 1' awal Januari lalu. Hiba rasanya melihat status sebegitu. Terasa sungguh kekurangan diri ini. Hati yang walang bertambah walang. Tapi.. ingat.. kami adalah yang terpilih. Mereka tak merasa begini, sebab ini bukan 'nikmat' Allah berikan pada mereka. Sabar. Pasti ada hikmahnya.
Kami berhati walang.
Tersentuh rasa hati bila ada yang mengatakan 'ini mesti orang yang takde anak yang cakap ni' tatkala ada isu yang membuat hati ibu sensitif. Kami yang berhati walang ini dijadikan mangsa. Adakah orang yg ada anak semuanya berhati mulia, tak pernah menuturkan sesuatu yang luar jangkaan. Yer, kami memang tiada anak, tapi kami bukan tiada perasaan belas. Perasaan ihsan. Perasaan kasih. Mana mungkin kami tega, senang lenang melihat anak-anak yang sakit, yang menderita. Mungkin tak sengaja. Tapi... seeloknya jangan lah menuduh terus kepada kami yang tiada anak ni sepertinya kami ini langsung tak punya peri kemanusiaan.
Kami berhati walang.
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Ada sesetengahnya mungkin tak terniat untuk mewalangkan hati kami, tapi kami mohon, fahamilah, tidak banyak sedikit pun sudah cukup. "Sejak ada anak, langsung tak berpeluang menonton tv. Anak asik nak tgk katon" balas sang rakan ketika kita asyik bercerita tentang drama bersiri yg kita ikuti. Kami berhati walang. Terkadang kami sensitif. Terkadang kami tersilap tafsir. Menafsirkan kata-kata tersebut hanya nak menyampaikan yang kami tiada anak ni punya lebih masa. Lebih baik ada anak dari menghabiskan masa menonton, begitu?. Kami berhati walang. Tersentuh hati tiba-tiba. Tapi, aku sendiri baru je ke rumah teman karib zaman sekolah. Jam di dinding menghampiri jam 5 petang sewaktu aku tiba ke rumahnya. Melihat di skrin tv - One HD. Bukan Disney Channel mahupun Ceria. 2 orang anaknya, seorang 7 tahun dan seorang 4 tahun - asik bermain sesama sendiri. Katanya "aku suka tgk citer Korea ni, susah nak tgk waktu lain sbb mmg dia takde ulang dah". Sambil melayan kami sebagai tamu, matanya tak lepas dari menonton cerita kegemarannya itu. Dalam perjalanan pulang, kami suami isteri sempat bercerita sesama sendiri "anak dia tak kesah nak tgk katon pun yer". Itu kisah sahabat aku. Kisah abang aku juga begitu. Anaknya didisplinkan utk menonton karton hanya pada waktu siang. Dan malam remote hanya di bawah kawalan ayah mereka. Anak kita - kita yang mencorakkan. Yer, aku tahu, pasti ada yg mencemuh "tiada anak, kau boleh cakap lah" Terpulang.. terkadang kita tak boleh angkuh dengan apa yg kita ada.
Kami berhati walang.
Memang. Kami ini boleh dikategorikan sebagai terlalu sensitif. Cakap macam tu pun tak boleh, cakap macam ni pun tak boleh. Sentap. Terasa. Tahu program Kembang Sa-Taman yang pernah disiarkan di Astro Warna - memaparkan kisah keluarga yang takde anak? Digambarkan suami isteri asik berlari2 sekeliling rumah. Lama kelamaan menjadi bosan. Si bapa mertua pula belikan jamu utk dimakan oleh si isteri. Pada yang bukan berhati walang seperti kami, kisah itu kisah biasa. Sekadar lawak jenaka. Tak perlu diperbesarkan. Tapi, bagi kami, ini sesuatu yang membuat hati kami bertambah walang. Mengapa digambarkan begitu. Kami tidak se bangang itu yg asik berlari2 keliling rumah. Ingat kami tak berusaha?
Kami berhati walang.
Kami tak meminta apa-apa. Cuma, mohon, fahami lah kami. Jangan lah ada perasaan angkuh dengan kami. Janganlah cuba membandingkan sesuatu cerita yang lain dengan anak. Janganlah bila ada cerita berkenaan novel, anak juga diceritakan. Janganlah bila ada cerita tentang makan meatball di IKEA, anak juga diselitkan. Kami tahu, harus lah insan normal bangga dengan rezeki Allah itu. Anak, siapa tak bangga. Tapi, itu juga rezeki dan nikmat dari Allah yang boleh ditarik dalam sekelip mata. Kiranya ditafsirkan bahasa lain bilamana ada yang berkata 'dah ada anak, tak sempat nak membaca novel' seolah menyesal ada anak dan tidak dapat membaca novel? Orang lain ada yang beranak pinak, sempat saja baca. Itu yang terkadang aku tafsirkan, ada sesuatu yang ingin diperbandingkan. Tak boleh nak buat sesuatu hanya kerana ada anak. Kasihan.
Kami berhati walang.
Mungkin, ada yang terasa hati dengan penulisan kali ini. Ada yang mencemuh. Mencebik. Mengatakan aku ni terlalu sensitif. Sentap. Tapi, sebenarnya persekitaran ini lah yang membuatkan kami berhati walang ini makin sensitif. Tiada anak diandaikan seolah satu kekurangan, musibah yang amat dasyat. Seolah olah menjadi golongan yang cacat.
Kami berhati walang.
Pada yang mendoakan kami agar kami berpeluang menjadi ibu dan bapa, kami ucapkan terima kasih tak terhingga. Semoga doa kalian dimakbulkan Allah. Kami juga teringin nak rasa bagaimana tak sempatnya nak baca novel bila dah ada anak, kami juga tak kesah tv kami di conquer oleh siaran 611, 612, 613 dsbnya, kami juga tak kesah bila kami tak dapat makan meatball lagi, kami juga teringin nak bawa anak-anak berjalan bila hari cuti. Siapa tak sedih, bila melihat rakan seangkatan sudah menghantar anak ke sekolah.Tapi kami.. masih menghitung hari, masih ke sana sini berusaha untuk mendapatkan anugerah berharga itu. Sebak bila semuanya dibandingkan dengan anak. Kami tahu kami tiada anak. Kami tahu kami tidak pernah merasai nikmat mengandung, melahirkan. Kami tahu kami tak pernah bangun malam menyusukan anak. Kami tahu, kami masih belum berpeluang untuk itu semua. Kami mohon juga, terkadang jangan lah terlalu membandingkan anugerah yang kami masih belum berpeluang itu dengan segala apa yg ada di dunia ini. Kami tahu, ianya tak ternilai. Memang tak ternilai. Jadi, kami mohon, usah dibandingkan lagi. Sememangnya ianya tak sama dengan keseronokan membaca novel, keseronokan pergi bercuti, keseronokan menonton wayang dan segala keseronokan yang ada dimuka bumi ini. Aku yang berhati walang ini bersungguh memohon.
Sememangnya, kami berhati walang kerana masih belum belum diberikan peluang menjadi ibu dan ayah.
Tapi kami tahu, kami antara yang terpilih.
Kami kuat untuk menghadapi dugaan yang diberikan ini.
Luahan dari yang berhati walang.
Utk itu, tiada komen untuk entry ini :)