Berikut adalah beberapa adab-adab Islam yang perlu dijaga bagi menangani gejala buruk di e-mel.
1. Dapatkan penjelasan mengenai maklumat yang diterima apabila tidak faham atau kurang jelas dan pastikan juga kebenaran maklumat berkenaan. Allah taala berfirman yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kami di datangi oleh orang yang fasiq dengan satu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan satu musibah ke atas satu kaum tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal pada apa yang kamu lakukan.” (Al-Hujurat : 6)
2. Apabila berusaha untuk mendapatkan penjelasan atau mencari kebenaran, bertanyalah pada mereka yang pakar atau mengetahui dalam bidang berkenaan atau bertanya langsung pada pihak berkenaan. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Maka bertanyalah orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl : 43)
Bertanya sembarangan bukan hanya tidak akan menjelaskan keadaan atau kebenaran yang dicari tetapi juga boleh menyebabkan penyelewengan atau kesilapan dalam membuat kesimpulan. Bertanya sembarangan juga boleh mengakibat perbuatan mengintip rahsia orang lain yang dilarang oleh Allah taala. Allah taala telah berfirman yang bermaksud
“Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang (mengintip).” (Al-Hujurat : 12)
3. Elakkan dari membuat pra-sangka atau hukuman awal sebelum membuat kesimpulan atau menyatakan sesuatu. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah dari berbanyak buruk sangka, sesungguhnya berburuk sangka itu sebahagian dari dosa.” (Al-Hujurat : 12)
4. Apabila melibatkan diri dalam perbincangan mengenai apa jua isu, hendaklah bersifat terbuka untuk mendengar pelbagai pandangan. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Maka berikanlah berita gembira bagi hamba-hambaku, mereka yang mendengar pandangan-pandangan dan mengikut yang terbaik di antaranya.” (Az-Zumar : 17-18)
Perbezaan pandangan dan kepelbagaian pandangan tidak semestinya tercela atau negatif. Islam menyediakan ruang bagi umatnya untuk berbeza pandangan. Yang penting ialah menjaga adab-adab dalam perbezaan pendapat.
5. Apabila berhujah untuk meneguhkan pendirian, lakukanlah dengan cara yang terbaik. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” (An-Nahl : 125)
“Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab kecuali dengan cara yang terbaik”(Al-Ankabut : 46)
Allah taala bukan hanya menyeru kita berdebat dengan baik tetapi dengan cara yang terbaik (Ahsan). Kalau kita diperintah untuk melakukan sedemikian terhadap ahli kitab, maka lebih utama untuk melakukannya terhadap sesama muslim.
6. Apabila melibatkan diri dalam perbincangan, berhati-hati dari sifat dengki dalam diri kerana Allah taala meminta kita akan menjauhkan diri dari sifat sedemikian. Allah taala berfirman yang bermaksud;
“Wahai Tuhan kami, janganlah Kau jadikan dalam hati kami kedengkian terhadap mereka yang beriman.” (Al-Hasyr :10)
7. Berlaku benar sentiasa. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan jadilah kamu bersama orang-orang yang benar.” (At-Taubah : 119)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Antara manifestasi sifat benar dan jujur ialah keterbukaan terhadap identiti diri dan tidak berlindung di sebalik nama-nama samaran. Secara psikologi, apabila seseorang itu berkomunikasi dengan identiti yang terbuka ia akan lebih bertanggungjawab terhadap apa yang ia perkatakan dan lebih berhati-hati dalam komunikasinya.
8. Gunakanlah bahasa yang baik dalam menyampaikan pandangan. Kita hendaklah melayan orang lain dengan cara yang kita suka orang lain melakukannya pada kita dan tidak melakukan apa yang kita tidak suka orang lain lakukan pada kita.
Walau pun Firaun adalah zalim dan degil dengan kekufurannya tetapi Allah taala tetap menyuruh nabi Musa dan Harun agar bertutur dengan lembut kepadanya. Allah taala berfirman yang bemaksud
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampau batas. Berkatalah kepadanya dengan kata-kata yang lembut. Semoga ia beringat dan takut.” (Taha : 43-44)
9. Bincangkan isu bukan keperibadian seseorang kecuali jika ia relevan dalam perbincangan. Kemukakan hujah bagi pandangan yang kita rasa benar untuk memenangkannya. Jangan memenangkan sesuatu pandangan dengan menyerang keperibadian seseorang (character assasination). Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Sorang muslim adalah saudara kepada sesama muslim, tidak boleh menganiayanya atau membiarkan dianianya. Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah akan menunaikan hajatnya. Siapa yang membebaskan kesukaran dari seorang muslim, Allah akan membebaskan kesukarannya di hari Kiamat. Siapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di hari Kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
10. Jangan sekali-kali bersegera atau gopoh untuk menjawab e-mel yang diterima atau mem ‘forward’ berita yang diperolehi kepada khalayak ramai. Sebaliknya berfikir secara tenang, dapatkan maklumat yang betul dan jawab dengan baik.
11. Jika ingin mendakwa sesuatu, maka ke atas kita untuk mengemukakan bukti. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Bukti ke atas siapa yang mendakwa dan sumpah ke atas siapa yang menginkarinya.” (Riwayat Al-Baihaqi)
Adalah satu kesilapan apa bila kita menerima sesuatu maklumat, lalu terus kita sebarkannya sebelum memastikan kebenaran maklumat itu atau bukti terhadap dakwaan dalam maklumat itu lalu menuntut pula pihak berkenaan untuk mengemukakan bukti dan membersihkan dirinya dari dakwaan berkenaan. Ini adalah terbalik dari apa yang sepatutnya.
12. Termasuk dalam hak saudara kita ialah untuk menjaga privacy saudara kita. Ramai di antara kita yang mahukan privacy bagi e-mel kita. Oleh itu, jangan sebarkan e.mel seseorang merata-rata melalui ‘cc’ dan amalan ‘forward’ kerana ia boleh menyebabkan e-mel berkenaan disalahguna oleh pihak tertentu dan menggangu saudara kita. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Seorang muslim yang sebenar ialah apabila seorang muslim yang lain sejahtera dari (kejahatan) lisan dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
13. Jika kita telah melakukan kesilapan di khalayak ramai, jangan malu untuk meminta maaf. Jika kita telah menyebarkan maklumat yang salah, jangan teragak-agak untuk membuat makluman umum agar ia tidak terus tersebar.
14. Jangan melibatkan diri dengan ‘hoax’ kerana ia adalah pembohongan. Berbohong itu dilarang. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Adalah menjadi pengkhianatan yang besar, apabila anda menyampaikan sesuatu berita kepada saudaramu, sedang ia mempercayainya, manakala anda pula membohonginya.” (Riwayat Ahmad & At-Tabarani)
Bacaan selanjutnya :
http://www.one-ummah.net/kuliah/akhlak/181-adab-dalam-menggunakan-e-mel.html
No comments:
Post a Comment