Thursday, August 9, 2012

Ihya Ramadhan 20 : Bersederhana, Bersedekah

Islam galak umat Islam hidup sederhana, bersedekah 

ALLAH menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam urusan duniawi, berpesan supaya memanfaatkan sekadar perlu dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan, ayat 67).

Jika diberi rezeki melebihi keperluan dan tanggungan, sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan kita menyorok tangan, membutakan mata serta tidak mengambil endah tanggungjawab sesama manusia. 

Ada kala kita hanyalah perantara yang dilantik Allah untuk membantu sesama makhluk kerana sifat amanah yang ada, bukan berhabisan untuk kepuasan sendiri. Tetapi tentu kita rasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. 

Contohnya, tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, waktu kecemasan, bersedekah, mengembangkan syiar agama kerana terlalu bermewah menyebabkan wang habis sekelip mata. Sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu jika dibentangkan dunia untuk kamu seperti pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu seperti dulu sudah membinasakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi takut jika kita tertipu dengan dunia dihiasi isi yang sementara, hanya penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika bijak membuat pilihan. 

Cermat dalam urusan dunia adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim supaya mereka menyedari moral yang sekecil itu boleh memberi untung besar kepada agama. 

Tetapi hari ini ramai suami mengabaikan tanggungjawab kepada isteri kerana tipu daya dunia terutama wanita cantik, arak, judi, hiburan melalaikan, kehidupan sosial yang tiada siapa peduli, memungkinkan mereka memilih jalan tidak halal. 

Begitu juga wanita yang bijak, apa juga peranan mereka mainkan di dunia, mereka perlu bertanggungjawab terhadap amanah. 

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. 

Mereka tidak berjimat jika punya wang, tidak rasa beruntung jika ada masa, tidak berhati-hati apabila berbicara, lalu mereka bazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka muflis di dunia mahupun akhirat. 

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau sakit dan menghadapi kematian lalu berkata: “Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah. Abu Bakar menjawab: Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali seorang antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja.” 

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat supaya menjadi ikutan hingga ke akhir zaman. 

Sifat boros dalam urusan duniawi patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Alangkah indah jika umat Islam hidup dengan penuh sederhana, harmoni sesama kita dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.” (Surah Al-Israa’, ayat 27) 

Kredit : 

3 comments:

Anum said...

thanks sis

duniaanita74.blogspot.com said...

salam reen lama tak datang sini..betul tu reen..info yg bagus...bulan puasa kena lah berjimat..raya nak dekat...

Masya said...

INSYAALLAH TERIMA KASIH MENGINGATKAN ... YG PENTING JGN LUPE BAGI DUIT KAT MAK AYAT MOGA BERTAMBAH² LAGI REZEKI DAN LEBIH DIBERKATI..